Monday, June 25, 2012

DIARI TETAMU SAMUDERA

Deretan bot di kuala
Petanda musim tengkujuh mengintai lalu
Laut kian bergelora…jeritan ombak kian sayup menyahut
Melodi indah irama alam…kembali berkumandang
Lagu ngeri semakin jelas kedengaran
Penuh lenggok kasar dan ganas
Di tengah samudera raya
Tiada lagi riuh sekumpulan manusia
Yang saban hari menjadi pelawat setia
Membiar diri dipukul ombak demi kelangsungan hidup,
Rela …dipanah terik mentari...
Perit .. menggingit kulit yang perang kehitaman
Itulah kehidupan para nelayan.
Diapit laut sudah amenjadi asam garam.
Dibaham lautan..disambut dengan tangisan dan kepayahan
Tiada hasil tangkapan…suram sebuah kehidupan

Di sebuah rumah agam beratap genting…
Sepinggan ikan bawal putih terbaring di pinggan kristal
Kilauan sudu perak kelihatan merobek dirinya dengan rakus
Santapan enak …buat seisi keluarga

Di rumah beratap rumbia berhadapan laut yang bergelora
Beberapa biji telur digoreng beralas pinggan hadiah sabun
Tiada yang istimewa
Tidak ada apa …yang ada
Tunggak keluarga pergi tidak kembali
Bersama dendangan lagu alam
Yang sedang berkumandang ngeri

Setiap kehidupan penuh warna warni
Disulami kemiskinan dan kekayaan
Disulami kejayaan dan kegagalan
Setiap sulaman memberi erti kehidupan
Namun..
Tidak kira sulaman yang kita punya
Setiap kita berhak untuk berbahagia
Kebahagiaan terletak pada jiwa
Bukan pada benang emas atau sutera

Kisah para nelayan
Satu diari sebuah kepayahan
Lambang kejayaan menempuh dugaan
Buat renungan teman-teman sekalian
Langit tidak selalu cerah..
Roda sememangnya berputar
Kadangkala kita di atas
Kadangkala dilanda badai


Memandang yang di atas jiwa meronta inginkan segala
Memandang yang di bawah terasa kecil.. diri berdosa
Pandanglah,renunglah dan berfikirlah
Bersamalah kita menginsafi diri
Mensyukuri rahmat pemberian ilahi.

Siap digarap:9.30 pagi 10/11/11
Tempat :SMJK Yoke Kuan Sekinchan
PUTERI MAS AYU

BAB 1- ALISA


BAB 1-CUTI LAGI
Kriiiing…loceng berbunyi memecah kesunyian diikuti bunyi bising derapan tapak kasut dan suara ramai yang kedengaran di setiap penjuru bangunan Sekolah Menengah Perempuan Seri Melati, Bandar Setia. Tingkatan 2 Marikh riuh dengan suara pelajar yang kedengaran riang seperti sedang berpesta dan beberapa kumpulan pelajar pula berkumpul seperti mengadakan mesyuarat kecil yang kelihatan agak penting. Perbincangan mereka terganggu apabila Cikgu Maria secara tiba-tiba bersuara.
“Ok, pelajar semua ambil perhatian, cikgu tahu kamu dah tak sabar nak bercuti, tapi… saya nak ingatkan, kerjakursus berkaitan tumbuhan herba yang boleh dijadikan ubat tu, mesti kamu buat. Cari di laman web dan naik semester kedua saya tahu kamu semua sudah bersedia. Faham! Ok Selamat bercuti semua.
Cikgu Maria mengingatkan pelajarnya berkaitan kerjakursus Sains yang perlu dilakukan semasa cuti sekolah.

“Oh sebelum saya terlupa, Alisa, kalau boleh cikgu nak minta tolong ambilkan beberapa sampel pokok herba di ladang ayah kamu, bolehkan”. Cikgu Maria bertanya sambil memandang tepat ke arah Alisa yang sedang dikerumuni oleh rakan-rakannya.
“Tak jadi masalah cikgu sebab cuti sekolah ni, saya akan ke ladang herba ayah”. Jawab Alisa.
Semua pelajar mengucapkankan selamat bercuti kepada guru kelas mereka Cikgu Maria, sambil melambaikan tangan sehinggalah kelibat cikgu Maria hilang daripada pandangan. Dalam masa yang sama, kesemua mereka sibuk berkemas untuk meninggalkan sekolah dalam tempoh dua minggu dan ada yang mula melangkah keluar dari kelas.
“Alisa, macamana nak buat kajian tentang tumbuhan herba ini? Aku tak tahu sangatlah… ayah kau tu kan pandai dalam bidang ni, kau tolong ajelah… Nanti aku carikan bahan dan ambil gambar”. Kata Rini dengan dahi yang berkerut.
“Ok, kita bagi kerja, aku cari pokok sebab kat ladang herba ayah di Pulau Cahaya tu macam-macam ada. Kau Ayu, cari nama saintifik herba, Rini pula nanti buat kajian berkaitan khasiatnya.
”Kartina dan Mona pula buat tugasan menaip. Setuju semua?”. Alisa selaku ketua kumpulan tidak rasmi projek Sains membahagikan tugas-tugas yang perlu dilakukan oleh ahli kumpulannya.
“Satu lagi aku nak pesan, jangan lupa semua, pertandingan band tu dah nak dekat, kita mesti cipta lagu baru, masing-masing cuba cipta satu dan nanti kita akan pilih yang terbaik aku nak semua orang perah otak tau. Nanti,jamming, kat rumah aku dan kau semua boleh tidur kat rumah aku sampai lagu kita tu siap. Macam mana Ok?”.
“No problem chief” .Kesemua mereka serentak bersuara dan mula melangkah keluar dari tingkatan 2 Marikh.
Bangunan sekolah semakin lengang dan hanya tinggal beberapa kumpulan pelajar dan guru yang sedang berjalan menuju ke tempat letak kereta berhadapan pintu masuk utama. Mereka berlima menghala ke arah pintu pagar sekolah , Pak Salleh jaga sekolah tersengeh melihat mereka berlima kerana dia tahu kesemua mereka ibarat isi dengan kuku ke mana sahaja bersama.

“Hei Lisa kau nak pergi ke mana cuti sekolah ni. Ayah aku cakap dia nak bawa aku sekeluarga ke Disneyland”.Kata Rini.
“Alaaah apa kelas Disneyland tu, sama je macam taman tema kat sini”. Alisa menjawab.
“Hoi mana sama, banyak laaa macam-macam ada kat situ”. Rini membantah.
“Aku balik kampung aje jenguk nenek, lagipun keluarga aku bukannya kaya macam kau” Celah Ayu.
“Eh Lisa kau tak jawab pertanyaan aku”. Rini memandang tepat ke arah muka Alisa .
“Aku? Aku… nak pergi ke sebuah dunia yang tidak pernah kau orang pergi…tempat tu tak popular dan tak glamour langsung. Ia penuh dengan objek yang pelik dengan makhluk yang ganjil….
“Sudah-sudah, kau ni saje je nak sakitkan hati aku, jawablah betul-betul”. Rini kelihatan marah sambil merenung tepat ke mata Alisa.
“Kau tanya soalan skema sangatlah, tak kan kau orang tak tahu, aku… kalau cuti… mesti ke Pulau Cahaya”.Jawab Alisa.


“Macam biasalah… ayah dan ibu aku akan ke ladang herba, manakala aku pula akan menghabiskan masa melukis dan menikmati pemandangan ynag indah di situ, puashati wahai tuan puteri Syarifah Arini?. Masa ayah aku buat PhD dulu, aku dah puas keliling dunia tahu, sekarang masanya aku duduk di Malaysia tak ke mana-mana faham?”. Alisa memberi penjelasan kepada rakan-rakannya.
Kesemua rakan Alisa berpuashati dengan jawapan yang diberikan. Tuuut… kedengaran bunyi hon kereta.
“Tu, Pakcik Adi kau dah sampai tu.” Teriak Mona.
”You guys aku pergi dulu happy holidays”. Alisa terus masuk ke dalam kereta sambil melambai-lambai ke arah rakan-rakannya yang seramai empat orang itu dan kemudian kereta Toyota MPV bapanya terus meluncur laju meninggalkan Rini, kartina, Mona dan Ayu yang masih berdiri di bahu jalan.
“Pak Adi, bila ayah nak ke Pulau Cahaya?”. Tanya Alisa kepada pemandu ayahnya.
“Mungkin lagi dua hari kot sebab hari tu dia cakap dengan Pak Adi lepas habis seminar di Australia dia nak bawa kamu semua ke sana”. Jawab Pak Adi .
Sambil merenung ke arah luar tingkap kereta, Alisa berfikir tentang rancangannya di Pulau Cahaya, dia teringin sangat pergi ke Gua Cahaya bersama rakannya Daniel. Di sana nanti dia akan mengambil gambar suasana di dalam gua dan akan menghasilkan seberapa banyak lukisan yang boleh .
Daniel adalah anak Makcik Anita dan Pak Adi dan umurnya sebaya Alisa. Dia tinggal bersama ibunya di Kampung Sinar berdekatan Pulau Cahaya dan ibunya menjaga rumah rehat ayah Alisa di Pulau tersebut.
“Pak Adi, ikut sekali tak ke Pulau Cahaya?”. Tanya Alisa.
“Tentulah dah lama Pak Adi tak jenguk Makcik Nita kau dan Daniel”. Pak Adi berkata.
“Eh, bukan bulan lepas Pak Adi balik ke sana?”. Tanya Alisa.
Pak Adi tersengih tanpa menjawab.
Sampai di rumah, Alisa terus melangkah ke dalam rumah agam yang tersergam indah dan rumah itu sepi seperti selalu. Dia adalah anak tunggal di dalam keluarga, selepas dilahirkan ibunya mengalami kemalangan jalanraya yang mengakibatkan dia tidak boleh mengandung lagi.
“Mak Gayah ibu ada? Tanya Alisa.
“Aiii. Tanya soalan pelik…macam biasalah ibu kamu siang-siang begini mestilah di klinik, ayah kamu pula tiga hari lagi baru balik, hari ini ayah Lisa ke Australia tau ada persidangan, lapar? Nanti mak Gayah ambilkan nasi ya”. Kata Mak Gayah, pembantu rumah.
Alisa meletakkan beg sekolah di sofa sambil terus melangkah ke kolam ikan di halaman rumahnya. Dia merenung ikan-ikan peliharaan yang berenang-renang berkumpulan ke sana-sini dengan bebas sekali.
“Beginilah nasib aku ikan, aku tak seperti kamu ada ramai saudara mara, anak tunggal macam aku ni memanglah sepi nasib baik ada Mak Gayah bolehlah aku ajak main monopoly dan chess”. Alisa bercakap sendirian.
“Mak gayah, Lisa makan kat kolam ni, Mak Gayah bawa nasi ke sini”. Jerit Alisa.
Alisa makan nasi sambil anak matanya liar memerhatikan beberapa ekor ikan kap Jepun yang menyelinap di celahan batu karang. Dia melihat kawasan sekeliling rumahnya yang indah dihiasi lanskap dengan tumbuh-tumbuhan menghijau sambil menyuap nasi berlauk ikan sepat goreng, sayur kangkung belacan dan ayam masak kicap.
Sambil makan Alisa ligat berfikir tentang rancangan yang bakal dilakukannya nanti di Pulau Cahaya, kerana dia tidak mahu cuti sekolah kali ini berlalu begitu sahaja seperti sebelumnya. Dia mahu menghasilkan sesuatu yang dapat menjadi memori terindah dalam hidupnya. Selepas makan Alisa terus membawa pinggan ke dapur, Mak Gayah pula tertidur keletihan di sofa ruang tamu.
Alisa memanjat anak tangga ke lantai atas rumah menuju ke ruang bilik tidurnya yang berhadapan dengan air terjun buatan. Dia membuka tingkap bilik seluas mungkin, membiarkan angin sepoi bertiup lembut memenuhi segenap ruang yang ada.
Dengan masih berbaju sekolah dia lantas mencapai komputer ribanya dan terus membuka laman facebook untuk berhubung dengan Daniel. Nampaknya Daniel tiada di talian dia menghantar e-mail bertanyakan rancangan Daniel bagi cuti sekolah yang baru sahaja bermula.

“Daniel apa rancangan kau cuti kali ini? Aku ada rancangan, tapi beritahu aku dulu rancangan kau”. Alisa menaip pesanan di talian.
Sementara itu di lantai bawah ibu Alisa, Diana baru sahaja pulang dari kliniknya. Ibu Alisa adalah seorang doktor gigi yang mempunyai klinik sendiri di Bandar Setia dan seperti biasa, setiap pukul 6.00 petang dia akan pulang ke rumah.
“Lisaaa, joom makan petang, ni ibu ada beli murtabak daging kegemaran Lisa. Diana, ibu Alisa memanggil anak kesayangannya.
Alisa yang dari tadi leka dengan facebook menjawab panggilan ibunya.
“Sekejap lagi Lisa turun”. Alisa tidak menyedari yang dia baru sahaja mendapat e-mail daripada seseorang, terus sahaja dia turun ke bawah untuk bersama ibunya.
“Wah sedapnya bu”. Kata Alisa sambil menyuap murtabak daging ke mulutnya.
“Makanlah dah lama rasanya ibu tak belikan Lisa murtabak,Mak Gayah jom makan sama”. Pelawa Diana ibu Alisa.
“Nanti Mak gayah ambilkan pinggan”. Jawab Mak Gayah.
“Bu bila kita nak ke Pulau cahaya? Tanya Alisa,dengan mulut yang penuh dengan murtabak.
“Tadi papa call ibu dia kata kita akan ke sana lagi empat hari, ayah kata dia penat sangat dan nak rehat. Ibu akan cuti selama dua minggu, ibu dah suruh Uncle Razlan gantikan ibu di klinik, kali ni kita akan pergi jungle trekking kat Gunung Sakti”.
“Gunung Sakti tu kat mana bu?”. Tanya Alisa.
“Mengikut orang kampung di sekitar situ, tak ada siapa yang nak pergi ke sana, sebab mengikut cerita gunung itu terkena sumpahan, tapi ibu tak percayalah semua tu. Ayah kata gunung tu akan bertukar warna menjadi merah bila malam seronokkan”. Jelas Diana.
“Bu ayah dah pernah ke situ ke?”.Tanya Alisa.
“Belum, sebab tu ayah nak ke sana. Ayah pun dah cuti dua minggu”.
”Bu kita camping kat situ laa, bawa khemah, makanan dan berenang bestnya… bu”. Alisa melompat kegembiraan kerana dia sudah lamamenyimpan hasrat untuk pergi berkhemah bersama keluarganya.

Ayah dan ibu Alisa selalu sahaja sibuk mereka jarang dapat meluangkan masa melakukan aktiviti rekreasi bersamanya.
“Lisa ibu dah penat ni, ibu nak mandi lepas tu sembahyang, kalau Alisa tak mengantuk apa kata kita tengok movie”.
“Ok bu”. Jawab Alisa sambil menolong Mak Gayah mengemas meja.
Alisa terus berfikir tentang rancangan perkhemahan di Gunung Sakti bersama kedua ibu dan bapanya. Dia cuba membayangkan keseronokan perkhemahan di puncak gunung bersama keluarga dan sudah pasti dia akan mengajak Daniel bersama. Alisa naik ke biliknya untuk mandi dan jam sudah menunjukkan pukul 7.15 malam. Selepas mandi dan solat dia menghampiri komputer ribanya yang masih terpasang dan kelihatan di skrin seseorang telah mengahantar e-mail kepadanya.
Dia terus membuka kotak email berkenaan dan E-mail itu berbunyi.
“Selamat bercuti ke Gunung Sakti, anda bakal menempuh perjalanan yang tidak akan anda lupakan seumur hidup”.
Tidak tertera nama pengirim, Alisa agak terkejut kerana dia tidak pernah memberitahu sesiapa pun yang dia akan ke Gunung sakti, baru tadi ibunya memberitahu hal yang berkenaan.
“Mungkin papa agaknya, saje nak kenakan aku”, Bisik hati kecil Alisa, kemudian dia tertidur sehingga ke pagi.
Kicauan burung yang hinggap di taman berhadapan biliknya mengejutkan Alisa daripada lena yang panjang, dia bingkas bangun dan melihat jam sudah pun pukul 8.00 pagi.
“Ya tuhan, aku bangun lambat betul hari ni”. Bisik hati kecilnya.Kedengaran deringan sms dari telefon bimbitnya.
“Anda akan menyaksikan satu pengalaman yang amat menyeronokkan di Gunung Sakti”. Nombor telefon pemanggil tidak tertera di skrin telefon.
“Aneh,siapa pemanggil ni, takkan papa,kalau papa mesti ada nombor dan nama”. Fikir Alisa.
Alisa terus mencapai telefon bimbitnya dan menelefon papanya.
”Hello, papa ada sms kat lisa tak?”Tanya Alisa.
“Lisa, Papa tengah sibuk sekarang ni papa sedang buat pembentangan. Sms apa? Orang lain kot yang bagi. nanti kita jumpa kat rumah suruh Pak Adi ambil papa di KLIA. Jumpa dalam masa dua hari lagi…bye sayang”.
Alisa masih tertanya-tanya siapakah orang yang e-meil dan sms kepadanya. Dengan fikiran yang masih buntu, deringan sms kedengaran lagi.
“Jumpa di sana…”.
Alisa terus mencampakkan telefonnya ke atas katil dan merasa terkejut serta hairan dengan sms yang tidak diduga serta tidak mengetahui siapa pengirimnya!


Thursday, October 6, 2011

Pendandan rambut juga 'pandai'


ARKIB FORUM UTUSAN  : 25/10/2010
http://s9.addthis.com/button1-share.gif
Pendandan rambut juga 'pandai'

SUDAH sekian lama hati ini terpanggil untuk memberi komen mengenai sistem pendidikan di Malaysia yang saya rasa agak beku. Sebagai seorang guru yang sudah bertugas selama 16 tahun, saya kasihan dengan pelajar-pelajar yang telah dikelaskan sejak dari sekolah rendah lagi. Dalam hubungan ini terima kasih diucapkan kepada kerajaan kerana menghapuskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Seperti yang kita sedia maklum, anak-anak kita mempunyai kemahiran mendengar, berfikir dan membuat keputusan yang amat berbeza. Yang pandai tentunya boleh ke hadapan dengan cepat, menerima ilmu dengan lancar bak kata orang 'sedikit diajar banyak yang dapat'.

Tetapi golongan ini adalah minoriti di sekolah-sekolah harian biasa. Selebihnya adalah pelajar yang sederhana dan lemah. Adakah layak pelajar yang dikategorikan lemah ini diasak dengan bebanan sukatan pelajaran yang terlalu tinggi, sedangkan di sekolah rendah lagi mereka gagal kuasai?
Cuba bayangkan pelajar yang sentiasa gagal Matematik sejak di bangku sekolah rendah lagi, diasak bertubi-tubi dengan Matematik yang lebih susah di sekolah menengah. 

Mengapa kerajaan seperti tidak nampak golongan ini dan sering menumpukan kepada prestasi peperiksaan dan melebihkan merangka pelbagai program untuk mereka yang terlebih pandai sahaja? Mereka yang 'santan kelapa' selalunya bermotivasi dalaman dan sememangnya mempunyai matlamat sendiri kerana mereka pelajar bijak yang tahu berfikir dan merancang masa hadapan.

Tetapi cuba anda semua bayangkan apa akan jadi kepada pelajar lemah yang akal mereka tidak sampai menerima ilmu yang sebegitu tinggi? Sudah tentu mereka akan bermain, buat bising, merayau dan ponteng sekolah. Kenapa mereka dipaksa belajar silibus yang sebegitu tinggi? Tidak adakah sebarang usaha untuk golongan seperti mereka diajar silibus yang bersesuaian dengan pencapaian akal dan bakat yang mereka ada?

Sebagai guru saya sedih apabila pelajar saya berkata, Cikgu, kami dah baca tapi tak dapat-dapat juga. Susah sangat nak masuk otak. Mereka bukan malas tetapi tidak dianugerahkan oleh Allah otak yang baik dan latar belakang keluarga yang mungkin kurang memberi motivasi.

Perlu sangatkah golongan seperti mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaan Malaysia (SPM) yang silibusnya agak berat dan mencabar? Pada kebiasaannya golongan yang terlalu lemah ini akan gagal dalam semua mata pelajaran. Kesudahannya mereka belajar selama berbelas tahun tetapi tidak mendapat apa-apa, bukan kerana kebodohan mereka tetapi kerana sistem yang dicipta oleh kita yang terlalu mementingkan sijil.

Apalah salahnya jika golongan yang terlalu lemah ini dikecualikan daripada mengambil SPM. Sediakan satu peperiksaan khas dengan silibus yang bersesuaian dengan kemampuan dan kebolehan mereka.
Golongan seperti mereka tidaklah terlalu ramai, mungkin tiga atau empat kelas yang tercorot. 

Mungkin sahaja kursus kemahiran boleh diadakan di dalam bangunan sekolah sendiri. Selepas habis tingkatan lima sekurang-kurangnya mereka mendapat 'sesuatu' daripada 'tiada apa-apa'. Mungkin sahaja ilmu yang mereka dapati di sekolah menengah boleh dijadikan sebagai punca pendapatan selepas tamat sekolah.

Cukup-cukuplah kita mengkelaskan generasi muda yang berada di bangku sekolah dengan 'si pandai' di kelas sains dan 'si tidak pandai' di kelas sastera. Ingat! Bukan pelajar yang mengkelaskan diri mereka tetapi kita sebagai golongan terpelajar yang berbuat sedemikian sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

Integrasi ilmu sains dan seni perlu dibuat secara menyeluruh. Bukan ahli sains, doktor, arkitek sahaja golongan yang cerdik pandai. Tukang masak, pendandan rambut, juru solek dan pelukis juga golongan cerdik pandai. Mereka mahir di dalam bidang mereka sendiri, punya bakat dan kebolehan tersendiri yang sudah tentunya datang dari Allah. Tidak perlulah kerajaan membuat berpuluh seminar, mengkaji berpuluh teori dan sistem persekolahan negara luar sedangkan jalan penyelesaiannya ada di depan mata.

MASLINA MD NOR
Sekincan, Selangor
Salah satu kraf tangan kegemaran pelajar-membatik

hasilan yang telah diwarna

DARI BELUKAR KE LEBUHRAYA

Dari belukar ke lebuhraya?Hmm..ia seperti sebuah perjalanan yang panjang.Perjalanan menempuh pelbagai kesulitan hidup untuk mendapatkan sesuatu. Sebuah metafora kehidupan diri ku dalam menuju kejayaan. Akan kuceritaka satu persatu perjalanan tersebut dengan penuh terperinci. Akan ku sebut agar menjadi renungan dan pedoman buat sesiapa sahaja yang ingin mencari "masalah" dalam menceburkan diri di bidang perniagaan. Bukan calangan boleh menebas belukar untuk menerobos pintu rezeki di bidang bisnes, banyak yang kecundang,menjadi gila hatta merempat di tepi jalan, dan ada yang merengkok di dalam penjara.

Aku bukan seorang jutawan jauh sekali seorang bilionair. Namun yang aku mampu adalah berkongsi pengalaman; kisah suka duka bagaimana seorang MELAYU seperti aku menebas belukar sebelum membina jalanraya untuk ke sebuah perniagaan yang mapan dan berdaya maju. Aku akan sertakan sekali ilustrasi hasil lukisan ku untuk tatapan para pembaca. Aku akan bercerita dengan penuh gaya bagai mana di dalam dunia ini untuk berjaya 1001 halangan perlu kita tempuh.

Adakah susah untuk BERNIAGA??Untuk berniaga dengan jujur dan amanah sememangnya payah.Mengapa?Kerana di dalam dunia hari ini sememangnya TERLALU banyak mereka yang tidak jujur,dengki khianat dan mengambil kesempatan.Jika kita tersilap langkah ..kita juga akan menjadi seperti mereka itu.
Budaya dengki khianat TERSANGAT KUAT di dalam BANGSA MELAYU...Budaya yang tidak sihat ini amat merosakkan bangsa, menikam diri kaum sendiri dan menterbalikkan kita dari maju ke hadapan.Selangkah kita ingin maju..ada sahaja yang menarik kita ke belakang.

Cubaan menarik ke belakang dan membuat kita tersungkur menyembah bumi akan berlaku tidak kira masa...selagi DENDAM KESUMAT dan BUSUK HATI bersarang di jiwa SI PENJAHAT HATI..selagi itulah ada sahaja onar yang dibuat...



Bangunan Kilang di Sungai Besar Sabak Bernam




Ini adalah kilang nata de coco milik syarikat suami yang dibangunkan atas jerih payah dan air mata.Ia tidaklah sebesar kilang mewah tersergam gah dan indah.Namun aku bangga kerana dapat memperbanyakkan usahawan bumiputera bergiat di bidang yang rata-rata dikuasai kaum cina,Kini kami boleh bernafas lega kerana produk kami diterima masayarakat tidak kira bangsa,agama dan latarbelakang hidup. kita perlu bangga dan yakin kebolehan diri, bukan bersifat riya dan berasa akulah paling hebat.



Ini adalah ruang dalaman tempat nata de coco diproses. Kami menggunakan peralatan mesin dan tenaga manusia.











Produk nata de coco keluaran syarikat kami.Apa yang terpapar di skrin ini adalah produk yang dibangunkan bersama dengan suami ku sejak tahun 1999.I masih bertahan hingga kini.


Beberapa orang pekerja yang sangat setia hingga kini





FASA PERTAMA: MEREDAH BELUKAR

Fasa pertama adalah rentetan peristiwa  bagaimana kami memulakan perniagaan dengan seribu kepayahan.

Tahun 1998, bermulalah episod meredah belukar bersama dengan suami ku yang tercinta.bermula tahun ini kami telah memperjudikan nasib untuk menjadi seorang peniaga.Pada masa itu kami tidak mempunyai sebarang ilmu berniaga.Hanya berbekalkan semangat dan sedikit modal sahaja Namun kami percaya setiap yang diusahakan pasti ada hasilnya.Sekali kami melangkah setapak, kami berasakan Allah akan memberi kami rezeki. Kami mula melangkah ke sebuah dunia yang kami rasa tiada cabaran dan halangan pada mulanya..kami menyangka berniaga ibarat, menjual barangan dan mendapat wang, itu sahaja.Tiada sebarang keraguan terhadap apa-apa yang bakal berlaku. kami begitu pasrah dan yakin dengan apa yang kami lakukan.kami meredah belukar tanpa sebarang senjata, yang ada hanyalah semangat dan kesungguhan yang jitu

MEREDAH BELUKAR


           Perniagaan aku bermula di rumah secara kecil-kecilan, proses memasak nata de coco mentah dan membuat sirap kesemuanya dilakukan di rumah. Aku tidak ada sebarang pengatahuan tentang membuat nata de coco mentah apatah  lagi membuat sendiri jus. Kesemuanya aku dan suami dapatkan melalui pembekal.Rumah kami menjadi tapak perniagaan yang kami rasa tiada salahnya berniaga di situ.Pasaran pertama kami adalah sekolah tempat aku mengajar.Dengan berbekalkan sebuah bakul yang sarat berisi nata de coco di dalam cawan-cawan  kecil,bermulalah diari kehidupan baru ku sebagai seorang peniaga.Bermodalkan mulut yang manis dan wajah yang menguntum senyuman, aku mula mempromosikan produk baru kami. Sudah tentu rakan-rakan guru ku menjadi sasasran.Ternyata sambutan amat menggalakkan,kami pun memperbanyakkan produk dan mencari pasaran di kedai-kedai runcit beredekatan rumah.Ternyata dalam masa yang singkat bisnes kami berkembang dengan cepat.Suami ku telah berhenti sepenuhnya dari menjadi seorang arkitek dan menumpukan kepada bisnes secara sepenuh masa.

 
Aku ibaratkan diri ku meredah belukar tanpa alatan yang cukup .













Pelbagai peristiwa pahit dan mansi apabila aku kenang saat mula belajar berniaga.disebabkan kekurangan modal kami membuat label hanya menggunakan kertas fotostat dan melekatkannya dengan gam biasa.Akibat berniaga secara "meredah belukar: maka banyaklah luka-luka dan calar balar yang kami dapat.